iklan nuffnang

menu

Sunday 31 May 2015

n3_FIZIK: Koleksi kertas 3 Bahagian B

Koleksi kertas 3 Bahagian B





"Live with no excuses and love with no regrets" 

credits to : nazuriS 



 


n3_Teknik Menjawab : MODUL SOALAN PENERANGAN FIZIK SPM

MODUL SOALAN PENERANGAN  FIZIK SPM





"Live with no excuses and love with no regrets" 

credits to : nazuriS 

 

n3_KPF 4013 : KPF4013 TUGASAN INDIVIDU

RPH DAN KRITERIA PEMBINAAN BERKESAN


1.0       PENGENALAN

            Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhasrat untuk melahirkan modal insan yang baik dan seimbang dari sudut intelektual, emosi, rohani dan jasmani yang sekaligus akan menjadi anggota masyarakat dan warganegara yang baik serta berupaya untuk mendepani cabaran globalisasi masa kini. Pernyataan ini telah dijelaskan di dalam Falsafah Pendidikan Negara:
                             
“ Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta member sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga dan negara “(Falsafah Pendidikan Negara 1988)

Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah merangka dan melaksanakan pelbagai usaha seperti Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di dalam pendidikan dan yang terbaru Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI)  bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan meninggalkan kesan yang optimum ke dalam diri pelajar.  Bagi merealisasikan hasrat murni Kementerian Pelajaran Malaysia yang ingin memartabatkan sistem pendidikan negara sebagai bertaraf dunia, maka ia memerlukan guru yang profesional, kreatif, inovatif, dinamik dan progresif.  Semua ciri ini amat penting bagi seorang guru untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran memberi impak yang maksimum ke dalam diri pelajar.

            Tugas utama seorang guru adalah untuk memudahkan pembelajaran para pelajar.  Untuk memenuhi tugas ini, guru bukan sahaja harus dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis, tetapi mereka juga perlu menciptakan pengajaran yang berkesan.  Ini bermakna, guru perlu mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang dapat merangsangkan minat pelajar di samping sentiasa memikirkan kebajikan dan keperluan pelajar. Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon (1992) menyatakan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah melibatkan dua pihak iaitu guru dan murid. Justeru, pengajaran yang ideal haruslah membawa kesan penuh ke atas pembelajaran yang berlaku.
Dalam sesi pembelajaran, guru kerap berhadapan dengan pelajar yang berbeza dari segi kebolehan mereka.  Menurut Gardner (1983) dalam Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan dan Abdul Aziz Abdul Syukur (2008), terdapat sembilan jenis kecerdasan dalam Teori Kecerdasan Pelbagai iaitu: Kecerdasan Verbal Linguistik, Kecerdasan Visual, Kecerdasan Logikal, Kecerdasan Muzikal, Kecerdasan Kinestetik, Kecerdasan Interpersonal, Kecerdasan Intrapersonal, Kecerdasan Naturalis dan Kecerdasan Eksistensial.Hal ini memerlukan kepakaran guru dalam menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Sharifah Alwiah Alsagoff (1983) pengajaran yang berkesan adalah merujuk kepada guru yang dapat membawa pelajar kepada hasil pembelajaran terakhir yang diinginkannya. Hal ini melibatkan corak pengajaran berstruktur dari segi organisasi bilik darjah serta mementingkan isi pelajaran.  Selain itu, ia juga merujuk kepada perihal pengajaran guru yang lebih memusatkan kepada para pelajarnya sehingga mereka tertarik mengikuti aktiviti pembelajaran.  Oleh itu, pembentukan proses pengajaran berkesan mempunyai nilai yang berbeza-beza namun ia masih bermatlamat untuk melihat hasil daripada isi pelajaran yang disampaikan. 

Ini bermakna, guru boleh menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan teknik-teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar. Strategi yang dipilih itu, selain berpotensi meransangkan pelajar belajar secara aktif, ia juga haruslah mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati pelajar serta dapat menghasilkan pembelajaran yang berkesan. 

Guru perlu bijak menarik perhatian pelajar dalam sesuatu pengajaran, aktiviti-aktiviti yang dipilih mestilah menarik dan mempunyai potensi yang tinggi untuk membolehkan isi pelajaran dan konsep-konsep diterjemahkan secara jelas. Aktiviti juga harus boleh mempengaruhi intelek, emosi dan minat pelajar secara berkesan.  Dalam merancang persediaan mengajar, aktiviti-aktiviti yang dipilih perlu mempunyai urutan yang baik serta diselaraskan dengan isi kandungan dan objektif pengajaran bagi menjamin proses pengajaran dan pembelajaran berkesan.




2.0       RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN (RPH), DAN KRITERIA         PEMBINAAN            BERKESAN

            Dalam penyediaan pengajaran dan pembelajaran terdapat beberapa ciri yang diperhatikan iaitu rancangan pengajaran tahunan dan harian. Penyediaan terhadap rancangan pengajaran ini bertujuan memastikan pengajaran dan pembelajaran dijalankan berdasarkan sukatan pelajaran dan menepati kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia. Melalui rancangan pengajaran ini, guru dapat membuat penilaian terhadap kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan perancangan dan penyampaiannya. Penyediaan rancangan pengajaran hendaklah mencapai hasil pembelajaran yang dihasratkan.Ini dilaksanakan melalui perancangan aktiviti pembelajaran yang menarik, sesuai dan berkesan. Penyediaan rancangan pengajaran terbahagi kepada dua iaitu;


1.         Rancangan Pengajaran Tahunan

Rancangan pengajaran tahunan disediakan pada awal tahun persekolahan. Penyediaan rancangan ini berpandukan sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran, kesesuaian tahap kebolehan pelajar dan keadaan semasa. Penulisan rancangan tahunan ini hendaklah ditulis mengikut panduan yang ditetapkan seperti tajuk mata pelajaran, objektif, hasil pembelajaran yang dihasratkan, bilangan minggu dan catatan. (Surat Pekeliling Bil 3/1987) Penyediaan persediaan mengajar melibatkan piawaian kandungan persediaan mengajar yang ditetapkan seperti mempamerkan visi, misi, matlamat dan piagam sekolah. Pencerapan dan refleksi guru dijalankan bagi memastikan guru-guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran berpandukan matlamat yang ditetapkan.


2.         Rancangan Pengajaran Harian

Penyediaan rancangan harian hendaklah ringkas, tepat, jelas dan padat. Rancangan pengajaran harlan hendaklah mengandungi butiran seperti tarikh, hari, masa, mata pelajaran, tajuk dan aktiviti pembelajaran.


2.1      RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

            Rancangan pengajaran merupakan rangka kerja aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan guru di dalam bilik darjah atau makmal, dalam satu jangka waktu yang telah ditetapkan. Tujuan utama guru menyediakan rancangan pengajaran adalah untuk menjamin murid mencapai objektif pengajaran secara berkesan, di samping meningkatkan keyakinan guru untuk mengajar. Sebelum mengajar, guru perlu merancang pengajarannya dengan berdasarkan kepada Sukatan Pelajaran serta latar belakang murid. Justeru, semasa merancang sesuatu pengajaran, guru perlu membuat keputusan mengenai keperluan, matlamat dan objektif yang perlu dicapai dan dikuasai murid, serta motivasi dan strategi pengajaran yang sesuai bagi mencapai objektif.

            Menurut Ibrahim Mamat (2001) dalam Abdullah Sani Yahaya (2005), Pelaksanaan kurikulum dijalankan melalui proses dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran oleh guru dan keberkesanan pelaksanaan kurikulum di sekolah memerlukan penyeliaan rapi dan sistematik. Matlamat utama rancangan pengajaran harian ialah bagi mempertingkatkan mutu pengajaran guru dalam bilik darjah supaya pendidikan yang diberi dan membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek iaitu rohani, jasmani, emosi dan intelek. Ini termasuklah penyediaan rancangan pengajaran di dalam bilik darjah. Penyediaan dijalankan secara sistematik dan berlandaskan hubungan profesionalisme di antara guru dan para pelajar bagi mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Shahabuddin Hashim, Rohizani binti Yaakub & Mohd Zohir bin Ahmad (2007), Guru juga perlu merancang dan menyediakan persediaan mengajar sebelum memulakan sesuatu pengajaran. Sebaik-baiknya persediaan ini dibuat sehari sebelum pengajaran bermula bagi membolehkan guru betul-betul bersedia dengan kaedah, aktiviti dan contoh serta bahan atau sumber yang sesuai bagi memenuhi objektif ditetapkan.

Persediaan mengajar melibatkan tiga peringkat iaitu perancangan mengajar, perancangan penyampaian pengajaran dan perancangan penilaian. Pada peringkat perancangan pengajaran, beberapa perkara perlu di kumpul atau disediakan oleh guru bagi merancang penyampaiannya secara Iebih efektif.
Perkara-perkara tersebut ialah maklumat mengenai murid, bilik darjah dan mata pelajaran; topik aktiviti; pengetahuan sedia ada dan objektif pengajaran dan pembelajaran.

Rancangan pengaran harian yang berkesan perlu dirancang dan disediakan dengan lengkap. Persediaan mengajar yang disediakan dengan jelas, teliti, lengkap dan teratur dapat membantu pelajar meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran terutamanya di kalangan murid bermasalah pembelajaran.

Melalui persediaan mengajar yang lengkap dan teratur membolehkan guru :

i.          Menentukan objektif pelajaran yang sesuai dan tidak terkeluar dari apa yang dirancang
ii.          Memahami dan menentukan isi pelajaran yang cukup disampaikan dalam jangka masa yang diperuntukkan
iii.         Menentukan strategi pengajaran yang sesuai dengan peringkat, kebolehan dan minat pelajar
iv.        Menentukan dan menyediakan bahan bantu mengajar yang diperlukan
v.         Merancang aktiviti pelajar yang sesuai
vi.        Mengawal bilik darjah dengan baik
vii.       Menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran murid
            viii.       Guru lebih berkeyakinan semasa menghadapi murid
ix.        Mengingati bahan pengajaran yang akan disampaikan
x.         Menjimatkan masa kerana segala pengajaran dan aktiviti dapat dijalankan dengan teratur
xi.        Memilih jenis soalan yang sesuai serta mencabar untuk dikemukakan semasa pengajaran
xii.        Memikirkan cara untuk memotivasikan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran
xiii.       Merancang bagaimana nilai murni dapat diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran




Manakala menurut Zaini Abdullah (2005), rancangan pengajaran yang teratur akan menjadikan murid ;

i.          Murid tidak rasa bosan.
ii.         Murid rasa seronok belajar.
iii.        Murid dapat dipantau prestasinya. 
iv.        Murid dapat pengetahuan yang maksima.
v.         Murid belajar dalam keadaan yang berfokus.
vi.        Murid dapat dikenalpasti kekuatan dan kelemahan.
vii.       Murid dapat mempelbagaikan proses pembelajaran.
vii.        Murid yang cerdas diberi peluang untuk memperkayakan pengetahuan.
viii.       Murid yang lemah diberi peluang untuk menjalani proses pemulihan semula. 























2.2       KRITERIA PEMBINAAN BERKESAN

Penyediaan Rancangan Pengajaran Harian merangkumi item-item yang perlu dinyatakan dengan jelas dan mudah dilaksanakan. Antara item yang perlu ada ialah
Sebagaimana contoh berikut:

2.2.1    Format Persediaan Mengajar / Rancangan Pengajaran Harian

Tahun (Bilik darjah) :
Tarikh :
Masa :
Mata Pelajaran :
Tajuk / Topik :
Objektif :
Hasil Pembelajaran 
Pengetahuan Sedia Ada :
Alat Bantu Mengajar :
Pemikiran Kreatif & Kritis :
Nilai Murni :
Pelaksanaan P & P

Penyampaian / masa
Isi Pelajaran
Aktiviti Pengajaran & Pembelajaran
Catatan
Set Induksi
( 5 minit )



Langkah 1
(      minit )



Langkah 2
(      minit )



Langkah 3
(     minit )



Penilaian
(     minit )



Penutup
(     minit )




Refleksi :

2.2.2    Penentuan Objektif

Objektif pelajaran bagi sesuatu tajuk merupakan kenyataan yang guru harapkan dan dapat ditunjukkan oleh pelajar pada tingkahlakunya.

Kegunaan Objektif

Kegunaan objektif pelajaran yang ditulis dalam bentuk objektif tingkahlaku atau objektif perlakuan adalah banyak. Antaranya :

i.          Menitikberatkan tingkahlaku dan pencapaian pelajar dan tidak berpusatkan guru, oleh itu guru perlu lebih peka pada keperluan dan kebolehan pelajar
ii.         Memberi arah tuju kepada guru di samping dapat membantu menilai
                        kemajuan perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran
iii.        Sebagai panduan kepada guru untuk perancang dan memilih bahan
                        pengajaran yang sesuai dan relevan
iv.        Membantu guru dalam merancang, memilih dan menentukan strategi
                        pengajaran
v.         Memberi gambaran yang jelas kepada pelajar, guru, pihak pentadbir dan penyelia apa yang harus pelajar capai di akhir sesuatu pelajaran
vi.        Memberi bayangan kepada pelajar tentang bentuk penilaian yang akan diberi
vii.       Membantu pelajar untuk membuat penilaian kemajuan kendiri
viii.      Membantu guru dalam menyusun atur aktiviti susulan

Penulisan Objektif

Objektif perlakuan yang ditulis perlu mempunyai 3 komponen iaitu :

i.          Perlakuan
Menyatakan, apakah yang pelajar akan buat atau lakukan bila mereka menunjukkan perlakuan objektif. Adalah penting bagi guru menyatakan jenis perlakuan yang diterima sebagai bukti pelajar tersebut telah menguasai sesuatu objektif.


ii.         Syarat
Keadaan dimana perlakuan itu akan dilakukan, ia boleh terdiri daripada peralatan, bekalan, atau bahan yang diberikan kepada pelajar untuk melakukan sesuatu perlakuan.

iii.        Kriteria
Menerangkan paras penguasaan atau kecekapan yang mesti dicapai dalam melakukan perlakuan objektif yang dapat memberikan gambaran bagaimana cara untuk menilai perlakuan pelajar.

Rumusan penulisan objektif

i.          Objektif perlakuan mestilah ditulis untuk pelajar
ii.         Objektif perlu ditulis dengan ringkas, padat, jelas, jitu dan eksplisit
iii.        Objektif mestilah sesuai dengan peringkat dan kebolehan pelajar
iv.        Objektif perlu ditulis degan menggunakan perkataan perbuatan yang boleh dilakukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, perkataan-perkataan perlakuan itu tidak mempunyai banyak makna dan boleh dinilai atau diukur
v.         Tidak hanya mengkhususkan pada domain kognitif sahaja, tetapi juga melibatkan domain afektif dan psikomotor.

2.2.3    Menentukan Isi Pelajaran

Isi pelajaran yang perlu dinyatakan dalam rancangan pengajaran harian adalah seperti yang dinyatakan mengikut topik-topik tertentu dalam sukatan pelajaran . Walaubagaimanapun , pemeringkatan isi pelajaran perlulah mengikut kebolehan pelajar dan prinsip-prinsip pembelajaran. Sebagai contoh pemeringkatan isi pelajaran disusun seperti berikut :

          I.                   Dari konsep yang mudah à kompleks, dari senang à mudah dan dari yang konkrit à abstrak
         II.                   Dari konsep sudah ada dalam pengetahuan sedia ada kepada yang belum tahu
        III.                   Relevan dengan objektif yang telah ditentukan mengikut urutan , teratur, mengikut perkembangan semasa dan
       IV.                   analitis dan kreatif
2.2.4    Pemilihan sumber

Bahan yang digunakan hendaklah sesuai dengan objektif pelajaran, tahap dan kebolehan pelajar. Menggunakan bahan yang tekini dan sesuai dengan keadaan setempat, mempelbagaikan penggunaan bahan (dari gambar pegun kepada penggunaan media elektronik), bahan yang digunakan perlulah cantik , berwarna, menggunakan saiz font yang sesuai dan dapat menarik perhatian pelajar.


2.2.5    Penentuan Strategi Penyampaian

Guru disarankan untuk mempelbagikan penggunaan strategi pengajaran. Walau bagaimanapun, penggunaan strategi berpusatkan pelajar adalah lebih baik digunakan. Ini adalah untuk memastikan pelajar memperolehi hasil yang maksimum. Perancangan penentuan strategi akan menggabungjalinkan isi kandungan sukatan pelajaran dengan strategi yang akan digunakan untuk menyampaikan isi tersebut. Isi pelajaran boleh dipindahkan secara terus daripada guru kepada pelajar dengan pelbagai cara seperti berkuliah, menunjuk cara, bersoal jawab dan latih tubi. Ataupun isi pelajaran dapat dipindahkan secara tidak langsung dengan menggunakan cara pembelajaran melalui aktiviti kumpulan, simulasi, main peranan, sumbang saran, inkuiri dan penemuan serta lakonan.

Pemilihan strategi pengajaran dan pembelajaran yang mencakupi kaedah dan teknik yang sesuai akan memastikan keberkesanan atau peningkatan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut. Penentuan kepada strategi yang melibatkan dan yang menambah kemahiran berfikir kepada pelajar perlu ditekankan. Disamping itu penggabungjalinan kemahiran-kemahiran 3 M (membaca, menulis dan mengira) perlu juga di ambil kira.

Berdasarkan kepada kepentingan dan keperluan perancangan pelajaran adalah jelas menunjukkan bahawa penyediaan Rancangan Pengajaran Harian yang teratur dan berkesan akan dapat membantu meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran pelajar terutamanya murid bermasalah pembelajaran.




2.2.6    Bahan Sokongan Konkrit

Bahan sokongan konkrit adalah merupakan antara jenis bahan bantu mengajar. Ini kerana bahan konkrit dapat dilihat dan dipegang oleh murid dengan tangan mereka sendiri. Oleh itu, semua deria dapat mereka gunakan termasuklah mata, telinga, hidung dan tangan. Ini menggalakkan perkembangan psikomotor mereka. Bahan sokongan konkrit  amat penting dalam membantu pelajar dalam proses pembelajaran kerana bahan sokongan ini dapat menyediakan satu asas kuat untuk pelajar memahami sesuatu konsep. Ini akan dapat membantu pelajar mendapatkan hasil pembelajaran yang lebih kekal. Bahan sokongan konkrit ini juga dapat menjadi daya penarik kepada pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran mereka.

Di samping itu bahan sokongan konkrit dapat menyediakan pengalaman-pengalama yang tidak diperolehi melalui bahan-bahan lain dan menjadikan pembelajaran lebih mendalam dan beragam. Dalam menyediakan bahan sokongan konkrit, beberapa perkara perlu diambil perhatian oleh guru :

i.                 Guru harus peka tentang menyediakan jenis-jenis alatan yang sesuai dengan isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan kepada pelajar.
ii.                Guru mesti arif dan tahu untuk mengendalikan bahan atau alat tersebut agar pengajaran dan pembelajaran tidak membuang masa dan sia-sia.
iii.               Bahan atau alatan harus sentiasa berada dalam keadaan baik, boleh beroperasi dan menepati fungsinya serta cekap mempersuaikan keperluan murid dan masa yang diperuntukan.

Berdasarkan perbincangan ringkas di atas jelas membuktikan bahawa penggunaan bahan konkrit adalah penting kerana penggunaannya bukan sahaja pembelajaran menjadi menarik, malah pemahaman konsep matematik pelajar dapat di perkembangkan lagi, kerana pelajar yang belajar dan berintraksi dengan objek akan lebih memahami apa yang dipelajari dan pelajar-pelajar akan membina konsep dan penyelesaian terhadap masalah yang diberi.  Juga dapat menjimatkan masa guru mengajar serta menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar

2.2.7    Refleksi

            Menurut Hanipah (1999), refleksi bermaksud proses merenung, menganalisis, mencari alasan, membuat cadangan dan tindakan untuk memperbaiki diri yang dilakukan berterusan. Apabila proses pengajaran dan pembelajaran telah selesai, guru akan membuat refleksi terhadap pengajaran yang telah disampaikan kepada pelajar sama ada pelajar dapat memahami atau tidak isi kandungan yang telah disampaikan. 

2.3       PERLAKSANAAN RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

2.3.1    Penampilan Diri Dan Disiplin

           Bagi memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, maka guru perlu menjaga disiplin serta penampilan diri dengan datang ke bilik darjah pada masa yang telah ditetapkan. Guru juga perlu berpenampilan menarik dengan cara berpakaian kemas, ringkas dan tidak memakai perhiasan yang keterlaluan ketika mengajar. Pakaian dan perhiasan yang keterlaluan akan mengganggu konsenterasi pelajar terhadap isi pengajaran gurunya. John Molly dalam kajiannya terhadap 15,000 eksekutif dan professional mendapati bahawa pakaian memberi kesan terhadap kebolehan dan kewibawaan individu. Dengan ini jelaslah bahawa penampilan diri dan disiplin seorang pensyarah dapat mempengaruhi secara langsung terhadap keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran muridnya.

2.3.2    Komunikasi Berkesan.

           Bagi memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu bijak menggunakan kemahiran komunikasi lisan dan bukan lisan dengan berkesan. Menurut Sulaiman Md. Yassin (2002),  komunikasi adalah merupakan satu proses pemindahan makna iaitu maklumat, idea, pengetahuan, persefahaman, lambang-lambang lain daripada sumber atau penyampai kepada penerima melalui saluran-saluran tertentu dengan harapan mewujudkan persamaan. Guru perlu menyampaikan pengajaran dengan suara yang jelas, nyata dan bersemangat. Komunikasi seharusnya berlaku dua hala iaitu guru menyoal dan pelajar menjawab, dengan ini pelajar akan merasakan diri mereka dihargai dan kewujudan mereka di dalam bilik kuliah adalah disedari.  Hasilnya pelajar akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada isi pelajaran.
            Selain komunikasi secara lisan, guru juga perlu mempraktikkan  komunikasi bukan lisan yang merangkumi pergerakan badan, penampilan dan persembahan diri, suara dan alam persekitaran pelajar itu sendiri.   Kajian oleh Ray Birdwhistell  (1955), menunjukkan bahawa lebih kurang 35% komunikasi lisan dan 65% komunikasi bukan lisan perlu dilakukan oleh seorang guru semasa mengajar bagi memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. 

2.3.3    Penggunaan Teknologi Maklumat.

Penggunaan teknologi maklumat juga dapat membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.  Pendidikan masa kini berkembang seiring dengan kepesatan sains dan teknologi.  Kelahiran bidang teknologi maklumat (ICT) melalui sistem pengkomputeran sebagai wadah baru era globalisasi telah mempertingkatkan lagi usaha penyebaran ilmu kepada generasi baru dan masyarakat umum di seantero dunia. Melalui kepesatan dan perkembangan bidang pengkomputeran, aliran akademik semasa juga turut melebarkan lagi gerbang ilmiahnya menerusi capaian kepantasan kuasa teknologi ini . Khususnya dalam bidang pendidikan, penggunaan teknologi pengkomputeran dalam proses pengajaran sememangnya memberi implikasi baru yang lebih efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus menyumbang kepada kelancaran dan kedinamikan dalam lapangan pendidikan. Ledakan teknologi pengkomputeran dalam dunia pendidikan tidak dinafikan merupakan sebahagian daripada faktor yang turut menyumbang ke arah kemajuan dan prestasi di kalangan guru dan pelajar. 

Charles B.Klasek (1972), menyatakan bahawa pengajaran guru boleh dianggap teratur sekiranya mereka dapat menggabungkan pengajarannya dengan bahan bantu mengajar. Pengajaran guru akan menjadi lebih berkesan dan berjaya meruntun fikiran pelajar terhadap pelajaran mereka.  Pendapat ini disokong pula oleh satu kajian ilmiah yang mengatakan bahawa pelajar belajar melalui penglihatan sebanyak 70% dan melalui pendengaran sebanyak 30% sahaja. 







2.3.4    Pembelajaran Koperatif Dan Kolaboratif

            Proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif, menarik dan menyeronokkan juga dapat dicapai melalui pelaksanaan usaha-usaha kreatif dan inovatif seseorang guru walaupun pengajaran dan pembelajaran hanya di dalam bilk darjah. Ia boleh direalisasikan dengan mempraktikkan pembelajaran koperatif dan kolaboratif iaitu gaya pembelajaran peer teaching sesama rakan pelajar

Pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif bermaksud pembelajaran secara kerjasama di mana pelajar belajar dalam kumpulan dan secara bekerjasama, berinteraksi dan saling bantu membantu dalam aktiviti pembelajaran dengan tujuan mencapai kemajuan dan prestasi yang cemerlang.

Menurut Kamus Dewan (1998), kolaboratif bermaksud kerjasama erat di antara dua pihak atau lebih. Pembelajaran kolaboratif membawa maksud sekumpulan pelajar berusaha ke arah mencapai prestasi yang baik, sama ada dalam bidang akademik atau bidang kokurikulum. (Mok Soon Sang ,2008).

Kesimpulannya tugasan secara berkumpulan ini dapat mempertingkatkan lagi minat belajar, motivasi diri dan pelajar menjadi  lebih yakin untuk berhadapan dengan khalayak sambil memberi pendapat, berhujah dan menjawab segala pertanyaan daripada rakan seperjuangannya.  Ini menunjukkan kepada kita bahawa pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif memang dapat mempertingkatkan lagi potensi diri pelajar.

2.3.5    Kemahiran Berjenaka.

Menurut Kamus Dewan, jenaka dapat diistilahkan sebagai sesuatu perbuatan dan perilaku yang mencuit hati.  Melakukan jenaka merupakan unsur hiburan dan perkara yang disampaikan tidak pula dianggap sebagai fakta kerana ia hanya merupakan suatu gurauan.  Namun begitu guru harus memastikan bahawa bahan jenaka  tersebut mesti ada kaitan atau releven dengan isi pengajaran, menepati masa dan suasana, tidak menyentuh peribadi seseorang individu dan tidak menghalang objektif pengajaran tercapai dengan sempurna.


Menurut Abdul Rahim Abdul Rashid (1992 ) guru yang baik mempunyai kualiti dan sifat tertentu.  Antaranya mereka perlu mempunyai unsur-unsur humor yang menjadikan pengajaran mereka tidak membosankan.  Laurence J. Peter (1975), pula dalam bukunya bertajuk Competencies For Teacher Education, menjelaskan bahawa bakal guru perlu menjadikan diri mereka guru yang berkesan dan berpengaruh. 

Kemahiran berjenaka adalah amat penting dan merupakan salah satu ciri guru yang baik kerana mereka dapat menghasilkan perubahan tingkah laku yang efektif di kalangan pelajar.  Dengan ini jelaslah kepada kita bahawa unsur jenaka juga memainkan peranan penting di dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

2.3.6    Penggabungjalinan.  

Penggabungjalinan bermaksud kesepaduan pengalaman pembelajaran di antara matapelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 1992). Guru perlu mempertimbangkan unsur-unsur daripada mata pelajaran lain yang berkaitan dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan, tegasnya merentasi kurikulum. Dengan itu bahan pengajaran yang disampaikan akan menjadikan pelajar memahaminya dan boleh dimanfaatkan dalam kehidupannya (Omardin Ashaari  1999).

Strategi yang menggabungjalinkan mana-mana matapelajaran dapat digunakan oleh guru di dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk memperkaya, memperjelas dan menimbulkan keseronokan dalam mempelajari mata pelajaran lain.  Dengan ini pelajar dapat melihat  perkaitan di antara disiplin ilmu.  Apa yang dipelajari tidak terpisah dan dengan itu proses pembelajaran akan menjadi lebih mudah, luas dan bermakna bagi diri pelajar. 









3.0       ISU-ISU BERKAITAN RPH DI SEKOLAH MENENGAH AGAMA PAHANG

3.1       BILANGAN PELAJAR BAGI TIAP BILIK DARJAH YANG TERLALU RAMAI

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Negeri Pahang (JAIP) seperti dalam Lampiran 2, jumlah pelajar yang diterima untuk memasuki sekolah menengah agama adalah seramai 40 hingga 45 orang bagi tiap kelas bagi tingkatan 1 dan tingkatan 2. Jumlah pelajar yang terlalu ramai ini akan mewujudkan kepelbagaian pelajar yang terlalu banyak sehingga menjadi satu cabaran baru bagi guru menyediakan rancangan pengajaran harian yang berkesan mengikut kesesuaian tiap pelajar

Kepadatan pelajar dalam sesebuah kelas dikenal pasti menyumbang beberapa perkara negatif kepada guru dan mutu pelajar. Rata-rata guru mengaitkan beban kerja mereka dengan masalah berdepan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelas yang sesetengah mencecah 40 hingga 45 orang. Akibatnya, guru hilang fokus mengajar.

Mereka turut mengalami tekanan emosi dengan telatah dan kerenah pelajar dalam suasana kelas yang ‘tidak terkawal’. Isu itu juga memberi kesan negatif kepada pelajar kerana belajar dalam suasana tidak tenteram. Hal ini menjejaskan pencapaian dalam pelajaran dan peperiksaan mereka. Gangguan rakan yang nakal boleh menjejaskan minat untuk tekun menuntut ilmu.


3.2       KEKANGAN MASA

            Berdasarkan Laporan Kemasukan Guru ke Kelas (rujuk Lampiran 3), masalah utama yang dihadapi oleh guru-guru sekolah menengah agama adalah jumlah masa mengajar secara mingguan yang terlalu banyak tetapi jika dilihat jumlah masa dari aspek setiap matapelaran yang diajar pula adalah terlalu sedikit menyebabkan timbulnya masalah untuk menghabiskan sukatan pada masa yang ditetapkan sedangkan purata matapelajaran yang diajar bagi tiap guru adalah 4 – 6 matapelajaran.  

            Merton (1957) menerusi Amir Hasan Dawi (2005) telah membezakan antara apa yang dikenali sebagai fungsi ketara dan fungsi tersembunyi. Fungsi ketara adalah sesuatu yang diketahui dan dikehendaki dalam aktiviti sosial tertentu. Fungsi tersembunyi pula merupakan suatu yang tidak disedari atau tidak dijangkakan. Sekiranya suatu hasil struktur adalah merupakan apa yang dikehendaki dan diiktiraf dalam sistem, ia telah menjalankan fungsi ketara. Sebaliknya sekiranya hasilan adalah sesuatu yang tidak dikehendaki atau dijangka maka jadilah ia fungsi tersembunyi.

            Jika diperhatikan pada zaman kini, fungsi nyata bagi guru bukan hanya melibatkan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah semata-mata. Peranan guru di luar bilik darjah juga semakin bertambah. Selain dibebani dengan fungsi nyata yang sudah sememangnya banyak, guru-guru juga dibebani dengan pelbagai tugas yang boleh dikategorikan dalam fungsi tersembunyi. Bebanan tugas yang pelbagai akan menyebabkan guru-guru ini tidak cukup masa dan menyebabkan proses persediaan rancangan pengajaran harian sering tergendala.


4.0       PENUTUP

Ringkasnya, sesuatu persediaan pengajaran perlu mengandungi dua jenis maklumat: Pertama, mengenai murid dan perkara yang akan diajar; dan kedua, catatan mengenai langkah-langkah dan aktiviti guru-murid dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran.

Rancangan pengaran harian yang berkesan perlu dirancang dan disediakan dengan lengkap. Persediaan mengajar yang disediakan dengan jelas, teliti, lengkap dan teratur dapat membantu pelajar meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran terutamanya di kalangan murid bermasalah pembelajaran.








5.0       BIBLIOGRAFI

Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon (1992) Pendidikan khas dan pemulihan: bacaan asas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia

Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan dan Abdul Aziz Abdul Syukur (2008), Siri pendidikan guru: Psikologi pendidikan, Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Sharifah Alwiah Alsagoff  (1983), Ilmu pendidikan: pedagogi, Havelock Rd, Singapore: Heinemann Asia Pacific Pte Ltd

Abdullah Sani Yahaya (2005), Mengurus sekolah, Kuala Lumpur: PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd

Shahabuddin Hashim. Rohizani binti Yaakub & Mohd Zohir bin Ahmad (2007). Pedagogi: Strategi dan teknik mengajar dengan berkesan. Kuala Lumpur: PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd

Zaini Abdullah (2011). Falsafah dan perkembangan pendidikan di Malaysia : Siri nota pembelajaran

Hanipah Husin (1999). Learning to be Reflective: The Content and nature of primary student teachers' thinking during field experience in Malaysia. University of Sydney:

Charles B. Klasek (1972). Instructional media in the modern school. Professional Educators Publications

Mak Soon Sang (2008). Kursus penilaian tahap kecekapan P&P Gred DGA34. DG44 & DG48. K.Lumpur: Multimedia-ES Resources sdn.Bhd.

Abdul Rahim Abdul Rashid (1992). Panduan latihan mengajar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Laurence J. Peter (1975). Competencies for teacher education. California: Wadsworth Publishing Company

Pusat Perkembangan Kurikulum (1992). Pukal latihan kurikulum bersepadu sekolah menengah. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Omardin Ashaari (1999). Pengajaran kreatif untuk pembelajaran aktif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka


Amir Hasan Dawi (2009). Sekolah dan masyarakat. Tanjong Malim: Quantum Books





Surat Pekeliling Bil 3/1987


Statistik Pelajar mengikut kelas bagi Tahun 2013


Laporan Kemasukan Guru ke Kelas


Slaid Perbentangan


---------------------------------------------------------------------------------------------------

(PROGRAM DPLI UPSI-KIPSAS) - JABATAN AGAMA ISLAM PAHANG (JAIP)