iklan nuffnang

menu

Monday 23 December 2013

“Refleksi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains Tingkatan 2 Bab 9 - Kestabilan”

Refleksi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains Tingkatan 2
Bab 9 - Kestabilan

Oleh:


Muhamad Nazri Bin Samsudin
SMA al-Maidah Addiniah Padang Tengku
27200 Kuala Lipis



SENARIO PdP

Saya telah menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mengenai topik kesembilan dalam Sukatan Pelajaran Sains Tingkatan 2 iaitu Kestabilan (unit 9.2 – Menghargai Kepentingan Kestabilan. PdP ini telah dijalankan terhadap kelas 2 Irsyad tang merupakan kelas pada kedudukan yang ketiga daripada 4 kelas di Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang Tengku. Seramai 38 orang pelajar yang terdiri daripada 23 orang pelajar lelaki dan 15 orang pelajar perempuan.

Saya telah menggunakan 2 masa pembelajaran iaitu selama 70 minit untuk mencapai objektif pembelajaran iaitu mencadangkan dua cara meningkatkan kestabilan objek di sekeliling mereka dan menerangkan dengan contoh tiga aplikasi kestabilan dalam kehidupan seharian. Saya tidak menghadapi banyak masalah dalam penguasaan untuk topik ini kerana pengelibatan saya dalam bidang kejuruteraan dalam topik ini serba sedikit membantu saya dalam menyediakan maklumat-maklumat tambahan yang berkaitan dengan topik ini. Saya memulakan PdP saya dengan tanyangan video menggunakan LCD berkaitan seorang lelaki sedang meniti tali sambil memegang palang besi bertujuan untuk menarik minat dan tumpuan pelajar. Alhamdulillah para pelajar tertarik dengan video yang dipaparkan dan terdapat sebahagian pelajar yang dapat mengaitkan video tersebut dengan topik kestabilan ini. Aktiviti diteruskan dengan slaid gambar zirafah dan juga tayangan video perlawanan sumo yang bertujuan membantu pelajar mengingati semula pengajaran yang lepas dan melakukan perbincangan bagi mengembangkan pengetahuan berkaitan kestabilan. Saya telah memperuntukkan masa selama 15 minit bagi aktiviti ini. 

Kaedah utama yang telah saya gunakan dalam PdP ini adalah Pembelajaran Berdasarkan Masalah (PBM) dimana para pelajar diberikan satu situasi dan penyelesaian yang dibuat dalam bentuk model menara daripada bahan-bahan yang dibekalkan iaitu straw dan pita pelekat dan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Aktiviti ini mengambil masa selama 40 minit dan pelajar begitu seronok melakukan aktiviti dan pelbagai rekabentuk yang kreatif telah dihasilkan.

Tahap kefahaman pelajar terhadap topik ini dapat dilihat dari rekabentuk model dan juga perbentangan yang telah dijalankan oleh para pelajar. Saya juga telah mengambil masa selama 15 minit untuk melakukan penilaian dan penyoalan serta perbincangan berkaitan kestabilan untuk mengakhiri pengajaran saya. Saya mendapati para pelajar mampu memberi jawapan yang memuaskan dan memenuhi objektif pembelajaran pada hari tersebut.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang pada PdP saya seperti kesukaran mengawal pelajar yang ramai, penggunaan perkataan-perkataan yang tidak sesuai, bahan aktiviti yang terhad dan pembahagian masa yang kurang baik serta keadaan pelajar yang tidak bersedia sedikit sebanyak telah mencacatkan perjalanan PdP saya.
  

PENULISAN ILMIAH : Kelemahan Pengawalan Kelas


1.0       Pengenalan

            Terdapat pelabagai kelemahan yang berlaku ketika guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) antaranya ialah kesukaran mengawal pelajar yang ramai, penggunaan perkataan-perkataan yang tidak sesuai, bahan aktiviti yang terhad dan pembahagian masa yang kurang baik serta keadaan pelajar yang tidak bersedia sedikit sebanyak telah mencacatkan perjalanan PdP. Segala kelemahan ini perlu diperbaiki bagi untuk penambahbaikan bagi sesi PdP yang akan datang. Adalah sangat penting bagi seorang guru untuk sentiasa menyedari dan memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam diri.

            Salah satu kelemahan yang perlu keutamaan untuk penambahbaikan adalah kelemahan dalam pengawalan kelas. Ini kerana, sekiranya pengawalan kelas yang lemah tidak di perbaiki akan mengakibatkan masalah-masalah yang lain. Pengawalan kelas yang bagus akan menjadikan aktiviti dan perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih lancar.

Menurut Haliza dan Joy (2009), pengurusan bilik darjah merujuk kepada semua tindakan guru semasa mengendalikan kelas supaya dapat mewujudkan suasana persekitaran yang tersusun untuk mengalakkan pembelajaran yang berkesan. Akan tetapi, sepanjang perlaksanaan PdP, suasana persekitaran yang tersusun dan pembelajaran yang berkesan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh disebabkan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh guru. Situasi ini disokong oleh pendapat dari Mok Soon Sang (2004) yang menyatakan Peranan guru sebagai pengurus bilik darjah adalah berasaskan elemen-elemen pengurusan iaitu merancang, mengelola, mengarah dan mengawal.  Ini bermakna guru sebagai pengurus bilik darjah memainkan peranan sebagai perancang, pengelola, pengarah dan pengawal.

Oleh sebab itu, sekiranya guru dapat memainkan peranan sebagai pengelola, pengarah dan pengawal yang baik, maka pembelajaran yang berkesan secara menyeluruh dapat dilaksanakan. Akan tetapi, pengawalan pelajar yang masih lemah dari pihak guru yang merupakan kelemahan utama guru dapat dikesan dalam PdP pada kali ini dan perlu diperbaiki supaya suasana persekitaran yang tersusun dan pembelajaran yang berkesan dapat dilaksanakan secara maksimum.


2.0       Faktor Kelemahan Pengawalan Kelas

            Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah pengawalan kelas ini. Untuk memperbaiki kelemahan ini, guru perlu memahami punca-punca yang meyebabkan kelemahan yang berlaku dalam pengawalan kelas ini.

            Kelemahan dalam pengawalan kelas ini adalah disebabkan oleh keadaan pelajar yang terlalu ramai yang terdiri daripada 38 orang pelajar yang mempunyai karekter yang berbeza. Sikap pelajar yang berbeza-beza memerlukan kaedah yang berbeza-beza untuk mamastikan kelas dalam keadaan yang sentiasa terkawal. Bagi membantu dalam masalah pelajar yang terlalu ramai ini, pembelajaran secara koperatif telah digunakan. Menurut Tay (2000), pembelajaran  koperatif bermaksud sekumpulan murid bekerjasama belajar dalam kumpulan kecil bagi mencapai matlamat pendidikan yang dikongsi bersama.  Walaupun pembelajaran secara koperatif ini sedikit sebanyak telah membantu dalam proses pembelajaran, tetapi disebabkan pelajar yang terlalu ramai dan bahan yang tidak mencukupi menjadikan bilangan pelajar bagi setiap kumpulan terlalu ramai dan terdapat sebahagian pelajar yang tiada tugas melakukan kelakuan-kelakuan yang tidak sepatutnya yang telah mengganggu tumpuan pelajar dan guru di dalam kelas. Apabila berlaku perkara seperti ini akan menyebabkan masa yang banyak dihabiskan untuk mengawal

            Faktor lain yang mendorong kepada kelemahan pengawalan kelas ini adalah komunikasi yang kurang sesuai. Komunikasi di sini termasuklah arahan-arahan yang kurang jelas dari pihak guru. komunikasi yang berkesan dapat menghasilkan iklim pembelajaran yang kondusif dan murid-murid akan lebih aktif dalam proses P&P (Mok, 2008).  Akan tetapi sekiranya pelajar tidak mengambil bahagian secara aktif dalam PdP menandakan komunikasi guru masih lemah dan menjadi faktor utama kepada kelemahan pengawalan kelas oleh guru. Sekiranya pelajar tidak faham atau masih tertanya-tanya akan apa perkara yang sepatutnya dilakukan, mereka akan mudah hilang tumpuan pada pelajaran di dalam kelas. Kehilangan tumpuan belajar murid-murid ini akan menjadikan pelajar mudah bosan dan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Masalah akan menjadi lebih serius sekiranya pelajar-pelajar ini menganggu pelajar lain yang sedang menumpukan perhatian. Gurauan seperti ini boleh menyebabkan kelas menjadi kucar kacir dan menyulitkan lagi masalah pengawalan kelas oleh guru. Jadi, setiap guru perlu sedar betapa pentingnya komunikasi yang berkesan dalam membantu pengawalan kelas supaya perjalanan PdP menjadi lebih lancar.

            Salah satu ciri penting yang perlu ada dalam seseorang guru adalah ketegasan ketika mengawal kelas. Ketegasan di sini adalah tegas dalam memberi arahan supaya ia jelas dan dapat dipatuhi oleh para pelajar. Ketegasan ini banyak berkait rapat dengan komunikasi yang berkesan sperti yang telah dibincangkan di atas. Saayah Abu (2007) menyatakan bahawa guru perlu tegas apabila ada pelajar yang tidak menunjukkan minat belajar dan mengikuti sesi pembelajaran sambil lewa. Guru juga perlu tegas dalam menyampaikan arahan dan undang-undang di dalam kelas kerana ia mempengaruhi tingkahlaku pelajar semasa di dalam kelas bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku seperti kemalangan.

            Terdapat pelbagai lagi faktor yang mendorong kepada kelemahan pengawalan kelas oleh guru ini seperti yang telah dinyatakan  oleh Eileen (2000) dalam kajiannya tentang kawalan kelas, selalunya sistem kawalan kelas yang lemah menjadi punca utama kebanyakkan proses P&P tidak dapat dijalankan dengan baik. Keadaan ini timbul disebabkan oleh beberapa perkara seperti, kurangnya minat murid terhadap proses P&P serta kaedah tradisional dalam proses P&P masih digunakan. Tambahan pula, kurangnya rasa hormat kepada guru serta hilang rasa tanggungjawab sebagai seorang murid juga menyebabkan mereka sering tidak mengendahkan tugasan dan arahan yang diberikan oleh guru.
  

3.0       Rujukan

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang, (2004). Siri Pendidikan Perguruan Pendidikan Peruruan di Malaysia untuk Kursus Diploma Perguruan, Edisi ke-8, Selangor : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd
Tay, L. K. (2000, November). Kaedah Pembelajaran Koperatif: Ke Arah Pembelajaran     Bacaan Pemahaman Teks Yang Berkesan. Jurnal Akademik MPSAH, 8, 1-8.
Mok, S. S. (2008). Murid dan Alam Belajar. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia            Sdn. Bhd.
Saayah Abu (2007). Education, Preschool Kuala Lumpur : PTS Professional
  

RUMUSAN


            Kesimpulannya, pengawalan kelas yang lemah akan mecacatkan perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran ini. Bagi mengatasi masalah ini, saya berpendapat guru perlu banyak melakukan pergerakan dan pemantauan di keseluruhan kelas supaya pelajar akan sentiasa peka terhadap arahan yang disampaikan oleh guru. Sambil melakukan pemantauan, arahan-arahan perlu diperjelaskan lagi mengikut tahap pelajar supaya lebih difahami dan mudah di ikut. Setiap arahan perlu diperincikan supaya tidak wujud kekeliruan ataupun salah konsep di kalangan pelajar. Saya percaya, sekiranya pelajar tahu akan tugas masing-masing dan guru sentiasa beri perhatian kepada setiap murid, maka pengawalan kelas akan menjadi lebih mudah dan berkesan.


---------------------------------------------------------------------------------------------------

(PROGRAM DPLI UPSI-KIPSAS) - JABATAN AGAMA ISLAM PAHANG (JAIP)  


No comments:

Post a Comment