“Refleksi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
(PdP) Sains Tingkatan 2
Bab 9 - Kestabilan”
Oleh:
Muhamad Nazri Bin Samsudin
SMA al-Maidah Addiniah Padang Tengku
27200 Kuala Lipis
SENARIO PdP
Saya telah menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mengenai topik
kesembilan dalam Sukatan Pelajaran Sains Tingkatan 2 iaitu Kestabilan (unit 9.2
– Menghargai Kepentingan Kestabilan. PdP ini telah dijalankan terhadap kelas 2
Irsyad tang merupakan kelas pada kedudukan yang ketiga daripada 4 kelas di
Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang Tengku. Seramai 38 orang
pelajar yang terdiri daripada 23 orang pelajar lelaki dan 15 orang pelajar
perempuan.
Saya telah menggunakan 2 masa pembelajaran iaitu selama 70 minit untuk
mencapai objektif pembelajaran iaitu mencadangkan dua cara meningkatkan
kestabilan objek di sekeliling mereka dan menerangkan dengan contoh tiga
aplikasi kestabilan dalam kehidupan seharian. Saya tidak menghadapi banyak
masalah dalam penguasaan untuk topik ini kerana pengelibatan saya dalam bidang
kejuruteraan dalam topik ini serba sedikit membantu saya dalam menyediakan
maklumat-maklumat tambahan yang berkaitan dengan topik ini. Saya memulakan PdP
saya dengan tanyangan video menggunakan LCD berkaitan seorang lelaki sedang
meniti tali sambil memegang palang besi bertujuan untuk menarik minat dan
tumpuan pelajar. Alhamdulillah para pelajar tertarik dengan video yang dipaparkan
dan terdapat sebahagian pelajar yang dapat mengaitkan video tersebut dengan
topik kestabilan ini. Aktiviti diteruskan dengan slaid gambar zirafah dan juga
tayangan video perlawanan sumo yang bertujuan membantu pelajar mengingati
semula pengajaran yang lepas dan melakukan perbincangan bagi mengembangkan
pengetahuan berkaitan kestabilan. Saya telah memperuntukkan masa selama 15
minit bagi aktiviti ini.
Kaedah utama yang telah saya gunakan dalam PdP ini adalah Pembelajaran
Berdasarkan Masalah (PBM) dimana para pelajar diberikan satu situasi dan
penyelesaian yang dibuat dalam bentuk model menara daripada bahan-bahan yang
dibekalkan iaitu straw dan pita pelekat dan mengikut syarat-syarat yang telah
ditetapkan. Aktiviti ini mengambil masa selama 40 minit dan pelajar begitu
seronok melakukan aktiviti dan pelbagai rekabentuk yang kreatif telah
dihasilkan.
Tahap kefahaman pelajar terhadap topik ini dapat dilihat dari rekabentuk
model dan juga perbentangan yang telah dijalankan oleh para pelajar. Saya juga
telah mengambil masa selama 15 minit untuk melakukan penilaian dan penyoalan
serta perbincangan berkaitan kestabilan untuk mengakhiri pengajaran saya. Saya
mendapati para pelajar mampu memberi jawapan yang memuaskan dan memenuhi
objektif pembelajaran pada hari tersebut.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang pada PdP saya
seperti kesukaran mengawal pelajar yang ramai, penggunaan perkataan-perkataan
yang tidak sesuai, bahan aktiviti yang terhad dan pembahagian masa yang kurang
baik serta keadaan pelajar yang tidak bersedia sedikit sebanyak telah
mencacatkan perjalanan PdP saya.
PENULISAN ILMIAH :
Kelemahan Pengawalan Kelas
1.0 Pengenalan
Terdapat pelabagai kelemahan yang berlaku ketika guru menjalankan
proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) antaranya ialah kesukaran mengawal pelajar yang ramai, penggunaan perkataan-perkataan
yang tidak sesuai, bahan aktiviti yang terhad dan pembahagian masa yang kurang
baik serta keadaan pelajar yang tidak bersedia sedikit sebanyak telah
mencacatkan perjalanan PdP. Segala kelemahan ini perlu diperbaiki bagi untuk
penambahbaikan bagi sesi PdP yang akan datang. Adalah sangat penting bagi
seorang guru untuk sentiasa menyedari dan memperbaiki kelemahan yang terdapat
dalam diri.
Salah
satu kelemahan yang perlu keutamaan untuk penambahbaikan adalah kelemahan dalam
pengawalan kelas. Ini kerana, sekiranya pengawalan kelas yang lemah tidak di
perbaiki akan mengakibatkan masalah-masalah yang lain. Pengawalan kelas yang
bagus akan menjadikan aktiviti dan perjalanan proses pengajaran dan
pembelajaran menjadi lebih lancar.
Menurut Haliza dan Joy
(2009), pengurusan bilik darjah merujuk kepada semua tindakan guru semasa
mengendalikan kelas supaya dapat mewujudkan suasana persekitaran yang tersusun
untuk mengalakkan pembelajaran yang berkesan. Akan tetapi, sepanjang
perlaksanaan PdP, suasana persekitaran yang tersusun dan pembelajaran yang
berkesan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh disebabkan beberapa
kelemahan yang perlu diperbaiki oleh guru. Situasi ini disokong oleh pendapat
dari Mok Soon Sang (2004) yang menyatakan Peranan guru sebagai pengurus bilik darjah
adalah berasaskan elemen-elemen pengurusan iaitu merancang, mengelola, mengarah
dan mengawal. Ini bermakna guru sebagai
pengurus bilik darjah memainkan peranan sebagai perancang, pengelola, pengarah
dan pengawal.
Oleh sebab itu,
sekiranya guru dapat memainkan peranan sebagai pengelola, pengarah dan pengawal
yang baik, maka pembelajaran yang berkesan secara menyeluruh dapat dilaksanakan.
Akan tetapi, pengawalan pelajar yang masih lemah dari pihak guru yang
merupakan kelemahan utama guru dapat dikesan dalam PdP pada kali ini dan perlu
diperbaiki supaya suasana persekitaran yang tersusun dan pembelajaran yang
berkesan dapat dilaksanakan secara maksimum.
2.0 Faktor Kelemahan Pengawalan Kelas
Terdapat
pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah pengawalan kelas ini. Untuk
memperbaiki kelemahan ini, guru perlu memahami punca-punca yang meyebabkan
kelemahan yang berlaku dalam pengawalan kelas ini.
Kelemahan
dalam pengawalan kelas ini adalah disebabkan oleh keadaan pelajar yang terlalu
ramai yang terdiri daripada 38 orang pelajar yang mempunyai karekter yang
berbeza. Sikap pelajar yang berbeza-beza memerlukan kaedah yang berbeza-beza
untuk mamastikan kelas dalam keadaan yang sentiasa terkawal. Bagi membantu
dalam masalah pelajar yang terlalu ramai ini, pembelajaran secara koperatif
telah digunakan. Menurut Tay (2000),
pembelajaran koperatif bermaksud sekumpulan murid bekerjasama
belajar dalam kumpulan kecil bagi mencapai matlamat pendidikan yang dikongsi
bersama. Walaupun pembelajaran secara
koperatif ini sedikit sebanyak telah membantu dalam proses pembelajaran, tetapi
disebabkan pelajar yang terlalu ramai dan bahan yang tidak mencukupi menjadikan
bilangan pelajar bagi setiap kumpulan terlalu ramai dan terdapat sebahagian
pelajar yang tiada tugas melakukan kelakuan-kelakuan yang tidak sepatutnya yang
telah mengganggu tumpuan pelajar dan guru di dalam kelas. Apabila berlaku
perkara seperti ini akan menyebabkan masa yang banyak dihabiskan untuk mengawal
Faktor
lain yang mendorong kepada kelemahan pengawalan kelas ini adalah komunikasi
yang kurang sesuai. Komunikasi di sini termasuklah arahan-arahan yang kurang
jelas dari pihak guru. komunikasi yang
berkesan dapat menghasilkan iklim pembelajaran yang kondusif dan murid-murid
akan lebih aktif dalam proses P&P (Mok, 2008). Akan tetapi sekiranya pelajar tidak mengambil
bahagian secara aktif dalam PdP menandakan komunikasi guru masih lemah dan
menjadi faktor utama kepada kelemahan pengawalan kelas oleh guru. Sekiranya
pelajar tidak faham atau masih tertanya-tanya akan apa perkara yang sepatutnya
dilakukan, mereka akan mudah hilang tumpuan pada pelajaran di dalam kelas.
Kehilangan tumpuan belajar murid-murid ini akan menjadikan pelajar mudah bosan
dan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Masalah akan menjadi lebih
serius sekiranya pelajar-pelajar ini menganggu pelajar lain yang sedang
menumpukan perhatian. Gurauan seperti ini boleh menyebabkan kelas menjadi kucar
kacir dan menyulitkan lagi masalah pengawalan kelas oleh guru. Jadi, setiap
guru perlu sedar betapa pentingnya komunikasi yang berkesan dalam membantu
pengawalan kelas supaya perjalanan PdP menjadi lebih lancar.
Salah
satu ciri penting yang perlu ada dalam seseorang guru adalah ketegasan ketika
mengawal kelas. Ketegasan di sini adalah tegas dalam memberi arahan supaya ia
jelas dan dapat dipatuhi oleh para pelajar. Ketegasan ini banyak berkait rapat
dengan komunikasi yang berkesan sperti yang telah dibincangkan di atas. Saayah
Abu (2007) menyatakan bahawa guru perlu tegas apabila ada pelajar yang tidak
menunjukkan minat belajar dan mengikuti sesi pembelajaran sambil lewa. Guru
juga perlu tegas dalam menyampaikan arahan dan undang-undang di dalam kelas
kerana ia mempengaruhi tingkahlaku pelajar semasa di dalam kelas bagi
mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku seperti kemalangan.
Terdapat
pelbagai lagi faktor yang mendorong kepada kelemahan pengawalan kelas oleh guru
ini seperti yang telah dinyatakan oleh Eileen (2000) dalam kajiannya tentang
kawalan kelas, selalunya sistem kawalan kelas yang lemah menjadi punca utama
kebanyakkan proses P&P tidak dapat dijalankan dengan baik. Keadaan ini
timbul disebabkan oleh beberapa perkara seperti, kurangnya minat murid terhadap
proses P&P serta kaedah tradisional dalam proses P&P masih digunakan.
Tambahan pula, kurangnya rasa hormat kepada guru serta hilang rasa
tanggungjawab sebagai seorang murid juga menyebabkan mereka sering tidak
mengendahkan tugasan dan arahan yang diberikan oleh guru.
3.0 Rujukan
Haliza Hamzah
& Joy Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah
Laku.Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang,
(2004). Siri Pendidikan Perguruan
Pendidikan Peruruan di Malaysia untuk Kursus Diploma Perguruan, Edisi ke-8,
Selangor : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd
Tay, L. K. (2000,
November). Kaedah Pembelajaran Koperatif: Ke Arah Pembelajaran Bacaan Pemahaman Teks Yang Berkesan. Jurnal
Akademik MPSAH, 8, 1-8.
Mok, S. S.
(2008). Murid dan Alam Belajar. Selangor Darul Ehsan:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Saayah
Abu (2007). Education, Preschool Kuala Lumpur
: PTS Professional
RUMUSAN
Kesimpulannya, pengawalan kelas yang lemah akan mecacatkan
perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran ini. Bagi mengatasi masalah ini,
saya berpendapat guru perlu banyak melakukan pergerakan dan pemantauan di
keseluruhan kelas supaya pelajar akan sentiasa peka terhadap arahan yang
disampaikan oleh guru. Sambil melakukan pemantauan, arahan-arahan perlu
diperjelaskan lagi mengikut tahap pelajar supaya lebih difahami dan mudah di
ikut. Setiap arahan perlu diperincikan supaya tidak wujud kekeliruan ataupun
salah konsep di kalangan pelajar. Saya percaya, sekiranya pelajar tahu akan
tugas masing-masing dan guru sentiasa beri perhatian kepada setiap murid, maka
pengawalan kelas akan menjadi lebih mudah dan berkesan.
---------------------------------------------------------------------------------------------------
No comments:
Post a Comment